Kaedah pengurangan baki menggantikan kaedah Peraturan 78. Kaedah pengiraan yang digunakan menentukan cara caj faedah diagihkan sepanjang tempoh pinjaman.
Menerusi kaedah Peraturan 78, caj faedah adalah lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman lantas menyebabkan kos faedah yang lebih tinggi pada permulaan tempoh pinjaman serta jumlah baki prinsipal yang lebih besar sekiranya penyelesaian awal dilakukan. Formula kadar tetap di bawah Akta Sewa Beli 1967 sedia ada menggunakan kaedah kadar sama rata, iaitu caj faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh bayaran balik pinjaman. Hal ini bermakna bahawa pada tahun-tahun awal pinjaman anda, contohnya hingga tahun ketiga bagi tempoh pinjaman sembilan tahun, sebahagian besar pembayaran bulanan anda digunakan untuk membayar faedah dan bukan untuk mengurangkan jumlah pinjaman. Oleh itu, baki pinjaman anda berkurang sedikit sahaja pada permulaan tempoh pinjaman.
Kaedah pengurangan baki telah lama digunakan untuk pembiayaan sewa beli berkadar boleh ubah di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan kini diselaraskan untuk pembiayaan sewa beli berkadar tetap di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026. Pada bulan Disember 2024, pembiayaan sewa beli berkadar boleh ubah mencakupi 15% daripada tawaran sewa beli oleh bank. Peralihan kepada kaedah pengurangan baki bertujuan untuk memastikan kaedah pengiraan faedah yang lebih saksama kepada peminjam, khususnya peminjam yang menyelesaikan pinjaman lebih awal. Dengan kaedah ini, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal yang belum dibayar. Oleh itu, sebahagian besar bayaran ansuran bulanan anda digunakan untuk mengurangkan pinjaman sebenar. Hal ini bermakna baki anda akan berkurang dengan lebih cepat setiap bulan sepanjang tempoh pinjaman.
Kaedah pengurangan baki merupakan langkah yang lebih telus dalam penentuan harga kerana kaedah ini mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pelanggan dengan lebih tepat, dan pada masa yang sama memastikan hasil yang lebih saksama untuk pengguna.
Kaedah pengurangan baki mengenakan faedah ke atas jumlah baki prinsipal setiap bulan, lantas menghasilkan caj faedah yang lebih saksama kerana faedah hanya akan dikenakan ke atas jumlah semasa yang perlu dibayar. Baki ini seterusnya berkurang secara progresif dengan setiap ansuran bulanan yang dibayar.
Tidak. Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 masih membenarkan penyedia sewa beli untuk menawarkan dua jenis pinjaman, iaitu pinjaman berkadar tetap dan pinjaman berkadar boleh ubah. Pelanggan akan terus mempunyai pilihan untuk memilih pinjaman sewa beli sama ada berkadar tetap atau berkadar boleh ubah.
Dalam pelaksanaan akan datang di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, penyedia sewa beli akan mula menggunakan EIR sebagai ganti kadar sama rata. EIR menunjukkan kos sebenar pinjaman anda sepanjang tempoh pinjaman. Kaedah ini mengambil kira jumlah faedah yang anda bayar berdasarkan baki pinjaman terkumpul pada bila-bila masa selepas mengambil kira bayaran balik bulanan. EIR memberikan gambaran yang lebih jelas dan tepat untuk tujuan perbandingan kadar faedah. Bandingkan beberapa pilihan untuk mencari tawaran terbaik yang memenuhi keperluan pembiayaan yang khusus bagi anda.
Sebelum menandatangani perjanjian sewa beli, penyedia sewa beli dikehendaki menjalankan usaha wajar yang sepatutnya untuk mengesahkan identiti bakal peminjam.
Bagi tujuan ini, penyedia sewa beli akan meminta maklumat yang berkaitan serta dokumen pengenalan diri daripada anda, seperti nama penuh yang tertera pada kad pengenalan atau pasport atau mana-mana dokumen rasmi lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan boleh digunakan untuk mengesahkan identiti seseorang, kad pengenalan atau pasport atau mana-mana dokumen rasmi lain, alamat kediaman dan surat-menyurat, serta nombor telefon.
Penyedia sewa beli kemudiannya akan mengesahkan identiti bakal peminjam melalui kaedah pengesahan yang sesuai, seperti pengesahan cap jari menggunakan pembaca biometrik, atau penggunaan sistem pengecaman wajah. Proses pengesahan ini bukan sahaja akan dilakukan semasa proses pendaftaran, tetapi juga untuk transaksi yang memerlukan persetujuan pelanggan secara jelas, seperti untuk sebarang perubahan pada perjanjian sewa beli yang sedia ada. Langkah-langkah ini berfungsi sebagai perlindungan terhadap amalan penipuan.
Penyedia sewa beli kini mempunyai pilihan untuk mengeluarkan dokumen dan notis sewa beli melalui saluran elektronik. Walau bagaimanapun, khusus bagi penyerahan perjanjian atau kontrak sewa beli, kaedah penyampaian perjanjian (secara elektronik atau salinan cetak) perlu dinyatakan dengan jelas dan dipersetujui secara bersama dalam perjanjian sewa beli tersebut.
Langkah ini bagi memastikan ketelusan serta memupuk persefahaman bersama antara penyedia sewa beli dengan anda sebagai peminjam. Anda boleh memilih untuk meminta salinan cetak perjanjian sewa beli tersebut sekiranya anda mahu.
Penyedia sewa beli tidak akan menawarkan lagi rebat apabila pelanggan yang telah menandatangani perjanjian sewa beli di bawah peruntukan baharu Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 membuat penyelesaian awal.
Di bawah Akta Sewa Beli 1967, apabila peminjam menyelesaikan pinjaman sewa beli lebih awal, penyedia sewa beli lazimnya tidak akan mengambil kira faedah untuk tempoh pinjaman yang berbaki. Hal ini dikenali sebagai rebat berkanun (statutory rebate).
Di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, semua pinjaman berkadar tetap dan berkadar boleh ubah akan menggunakan kaedah pengurangan baki, iaitu faedah dikira berdasarkan baki prinsipal yang tertunggak. Sebaik sahaja peminjam melunaskan baki pinjaman, tiada caj faedah dikenakan selepas itu. Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk pengecualian faedah atau rebat seperti sebelum ini.
Pindaan kepada peruntukan sedia ada di bawah Akta Sewa Beli 1967 hanya akan terpakai pada perjanjian sewa beli baharu yang ditandatangani selepas Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa. Perjanjian sewa beli sedia ada yang telah ditandatangani di bawah Akta Sewa Beli 1967 akan terus tertakluk pada terma dan syarat kontrak asal yang telah dipersetujui.
Walau bagaimanapun, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 menyediakan fleksibiliti kepada peminjam dan penyedia sewa beli secara persetujuan bersama untuk memilih kaedah pengiraan baki bersih yang perlu dibayar di bawah perjanjian sewa beli mengikut Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026. Pelaksanaan ini tertakluk kepada ketersediaan penyedia sewa beli untuk menawarkan kaedah pengurangan baki dalam pengiraan baki pinjaman, bergantung pada keupayaan dan penambahbaikan sistem dalaman masing-masing.
Bagi memperkukuh perlindungan kepada pengguna kredit, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan telah memperkenalkan Akta Kredit Pengguna 2025. Selaras dengan pendekatan menyeluruh kerajaan, KPDN turut menjalankan semakan terhadap Akta Sewa Beli 1967 bagi mengenal pasti dan menangani amalan yang tidak saksama terhadap pengguna kredit. Salah satu isu utama yang dikenal pasti ialah penggunaan kaedah Peraturan 78 di bawah Akta Sewa Beli 1967, yang telah dikritik secara meluas kerana tidak saksama, khususnya kepada peminjam yang membuat penyelesaian awal pinjaman. Sebagai tindak balas, beberapa negara telah memansuhkan penggunaan kaedah Peraturan 78 disebabkan ketidaksaksamaan sedia ada yang wujud terhadap pengguna kredit dan Malaysia kini selaras dengan amalan terbaik pada peringkat global.
Jika anda mempunyai pertanyaan atau aduan berkaitan dengan pelaksanaan peruntukan baharu di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, anda boleh terus menghubungi penyedia sewa beli anda untuk mengemukakan pertanyaan atau membuat aduan. KPDN kekal sebagai pihak berkuasa pengawalan dan penyeliaan semua perjanjian sewa beli di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.
Oleh itu, jika pertanyaan atau aduan anda dengan penyedia sewa beli anda tidak dapat diselesaikan, anda juga boleh menghubungi KPDN melalui portal e-aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my/), nombor telefon bebas tol (1-800-886-800) atau e-mel (e-aduan@kpdn.gov.my), atau menghantar surat atau mengunjungi pejabat KPDN terdekat. Jika penyedia sewa beli anda ialah institusi perbankan, anda boleh menghubungi Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (Financial Markets Ombudsman Service, FMOS) (Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang FMOS) atau BNMLINK untuk pertanyaan atau aduan yang tidak dapat diselesaikan.
*
* klik pada soalan lazim untuk melihat jawapan
** sumber: Dokumen Akta Sewa Beli (Pindaan 2026) Bank Negara Malaysia
www.kaksaa.my
